Header Ads

Isteri Tanggung Hutang RM958,000 Selepas Kematian Suami


Baru-baru ini ada tsunami sikit di Facebook. Tentang beli rumah muda-muda dan rezeki masing-masing. Tentang menulis dan tunjuk lagak. Tentang tidak semua orang ada duit dan kenapa perlu letak tekanan pada anak-anak muda agar beli rumah awal. 

Saya tak berapa muda. Dah nak masuk 33 tahun sebenarnya. Saja nak berkongsi sedikit pengalaman. Saya tamat persekolahan pada umur 25 tahun dengan kelulusan Master. Saya bekerja setahun di UK dan kembali ke Malaysia pada umur 26 tahun. Alhamdulillah murah rezeki, terus dapat kerja dengan gaji RM3,500. 

Saya gunakan kenderaan ibu bapa (komitmen hanya pada minyak dan tol). Masa itu sepatutnya boleh buat saving hampir RM2,000 atau lebih sebulan kalau ada pengetahuan ilmu kewangan yang betul. Tetapi memang segan nak cerita, yang mana saya tidak pernah dapat menyimpan lebih daripada RM200 pun sebulan. Sedih kan? 

Saya banyak traveling sebenarnya, sebab itu duit tak ada. Saya berkahwin pada umur 26 tahun. Gaji kami suami isteri dicampur, hampir RM10,000. Pembiayaan bersama dengan suami, kami beli rumah besar di pinggir bandar Shah Alam. Rumah Semi D, 40' x 90' yang berharga RM660K. Kami gunakan maksimum kelayakan pembiayaan suami isteri. Bayaran hampir RM3,500 sebulan. Kami beli dengan ego tanpa ilmu sebab kami kerja besar dan berjawatan. Tak akanlah nak beli rumah kecil kan? Tambahan pula dikelilingi kawan-kawan yang memang standard of living high class belaka. 

Selepas sign SnP (sales and puchase agreement) semua, renovate rumah lagi dengan kos RM200K menggunakan personal loan. Semua sebab mahu rumah nampak gah di mata orang. 

Masa itu, suami juga baru lepas membeli kereta baru, Honda Civic. Bayangkanlah komitmen bulanan kami. Nak bergaya punya pasal kan? 

Rumah masih dalam renovation, tetapi saya diuji apabila suami terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia. Beliau tiada wasiat untuk saya dan anak. Bayangkan betapa saratnya hidup saya dengan hutang dan bebanan perasaan pada masa itu. 

Saya lambat mengambil tindakan. Menunggu saja kalau-kalau pihak bank ada call. Jadinya, bulan pertama dan kedua, semua loan tetap kena bayar sementara menunggu berita daripada pihak bank. Simpanan pula segan-segan saja nak tinggal dalam bank. Kontraktor sudah mula mengugut mahukan payment segera. 

Saya yang kerja sebagai arkitek, terpaksa berhenti. Hidup berubah 360'. Balik ke kampung dan duduk dengan parent dan yang paling penting, hentikan renovation rumah setakat yang ada. 

Saya mencari pekerjaan baru, buat kerja part time. Setiap malam tidur 3-4 jam sahaja. Banyak yang saya belajar dari apa yang terjadi ini. Kawan-kawan yang ada sebelum ini mula menjauhkan diri. Yang ada pada waktu itu hanyalah keluarga saya. 

Akhirnya dengan hati yang sungguh berat, saya terpaksa menjual rumah besar dan hebat itu. Air mata bergelen jugalah sebab rasa malu menebal pada saudara mara yang menyanjung tinggi pada saya dulu. 

Saya reset semula kehidupan saya bermula dari kosong. Saya cari ilmu, mula mengikuti perkongsian tips hartanah dari semua sifu-sifu hartanah di Facebook. 

Saya ingat lagi jam 2 pagi, saya menghubungi Dr. Fadhli melalui Facebook. Saya bertanya bagaimana caranya mahu memiliki rumah. Alhamdulillah, pada umur 30 tahun saya berjaya mengumpul duit dan membeli rumah kecil. 

Saya menyemak kelayakan dengan pihak bank yang menyatakan saya layak membeli rumah berharga RM300K. Saya ikut segala apa yang Dr Fadhli ajarkan. Beli dua buah rumah kecil. Saya beli satu apartment subsale di Shah Alam yang berharga RM100K dengan keluasan 750 sqf sahaja. Dan sebuah lagi, rumah teres kecil 18' x 60' di Ipoh.

Saya gunakan tulang empat kerat untuk make over rumah. Angkut perabot di tengah malam, cari penyewa sendiri. Saya apply semua ilmu yang ada. Malu? Tolak perasaan itu ke tepi dulu. 

Kawan-kawan saya semua memang mengata.

"Mana rumah besar kau? Kau ada hutang Ah Long ke sampai kena jual rumah besar beli rumah kotak (apartment)?" 

Selepas tahun pertama, dividen daripada ASBF saya gunakan untuk membeli rumah ketiga. Masih rumah kecil juga, rumah teres RM120K 20' x 75' dan saya buat sewaan per kepala. Semua kata saya bodoh sebab bukan kawasan hot. 

Saya pergi rumah ke rumah yang ada iklankan sewa di kawasan itu. Nak survey yang mana kurang, saya nak buat tambahan di rumah saya. Dengan izin Allah, rumah itu fully occupied (berjaya penuh dengan penyewa). Pada masa yang sama, saya juga cuba buat sublet sebab saya mahukan ilmu untuk menguruskan rumah sewa dan asas-asas untuk renovate rumah secara DIY. Alhamdulillah, dua tahun selepas jatuh bertimpa-timpa seorang diri, permohonan pembiayaan rumah keempat baru saja diluluskan. 

Jadi di sini, saya nak kongsikan kepada adik-adik khususnya. 
  1. Jika kita menyangka rezeki kita sentiasa tinggi melangit dan mengimpikan rumah yang besar, gah dan hebat, kita akan merana andaikata sesuatu musibah terjadi.
  2. Kalau kita rasa umur 30 tahun baru kita nak membeli rumah sebab kita sangka jalan hidup kita lancara saja, kita akan menyesal bila sampai masanya kita sedar kita sudah terlewat.
  3. Bila ada yang memberi ilmu, itu sebenarnya wake up call untuk kita. Tak kiralah berapa pun umur kita. Seriously, rendahkan ego!


Sumber: pixelperfext

No comments:

Powered by Blogger.